13 June 2011

lebih bererti begini..

Wahai diri..ingatlah..segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua. Jika datang orang ‘menghadiahkan’ air mata..maka, Allah sedang mendidikmu dengan sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi ‘asbab’, lihatlah dengan mata hati yang Allah jua menjadi ‘musabbabil asbab’. Jika kau di sakiti oleh dia, maka Allah sedang mengajarmu erti redha.

Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenangkan perbuatan mereka.Dan paling derita, jika kau merasakan mereka sedang membina istana kebahagiaan di atas tapak kedukaanmu. Sedarilah,  yang tercabar bukan harga dirimu tetapi keegoanmu! Harga diri itu milik kita selamanya. Jangan bimbang jika tidak dihargai tetapi bimbanglah jika kita benar-benar tidak berharga. Di mata siapa? Di mata diri kita sendiri. Namun, ego itulah yang selalu menuntut pengiktirafan dan sanjungan.


Wahai diriku..

Mulakan langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain.Memberi maaf. Namun, terlalu sukar rasanya untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar dari meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terbayang segala tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan maruah diri. Ahh..apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong tarik dengan harga yang rendah?

Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh di dalam diri..ada suara lain yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa. Maafkan.. lupakan… berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Musim-musim berlalu sewajarnya mendewasakanku. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain, sama seperti memaafkan diri sendiri.  Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang ‘baqa’..

Lagipun.siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Hidup ini terlalu singkat untuk membenci..

hmmm..sungguh, hidup terasa payah andai masih ada sisa-sisa dendam yang tersemat di hati. Benci! Hanya dengan mendengar apa saja yang berkaitan dengan nya mampu membuatkan tangan dikepal menahan marah. Andai terpandang nama nya saja seakan-akan ada api marah yang seakan-akan mahu melonjak keluar dari dalam dada. Belum lagi melihat susuk tubuh si empunya diri, mahu saja dirodok dengan penyapu sehingga longlai.

Tapi.. selepas itu apa? Hati puaskah? Kemudian? Ah..takkan ada penghabisan melainkan kebencian yang akan terus menerus membakar diri sehingga diri juga turut tersungkur dalam api yang diciptakan sendiri..

Wahai diri.. dendam dan benci itu tidak akan berada pada jiwa seorang mukmin yang sejati. Andai engkau masih tidak memahami, ulangi lagi membaca pesan yang baru kau tulis tadi..




moga dikuatkan.InsyaAllah..aku masih ada DIA.

No comments: